Monday, September 16, 2013

Posted by Unknown | File under : ,
Perjalanan Mencari Khusyuk Solat


﴿﷽﴾
In The Name of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful
Muqaddimah

﴿ اِقْرَاۡ بِاسْمِ رَبِّکَ الَّذِیۡ خَلَقَ﴾
 “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan”
[al-Alaq : 1]
…………………………………………………………………………………………………………
Inna Alhamdulillah, nahbuduhu wa nasta’inuhu wa nastaghfiruhu, wa na’uzubillah min syururi anfusina wa min sayyi’ati a’malina, man^yahdihillahu falaa mudhillalahu, wa man^yudhil falaa hadiyalah, wa ashadu ‘an~la ilaha illa Allah wahdahu la syarikalahu, wa ashadu ‘anna Muhammad  ‘abduhu wa rasuluhu. Amma ba’d.

Segala puji hanya milik Allah subhana wata’ala, kami memujiNya dan memohon pertolongan padaNya dan ampunan kepadaNya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amalan perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petujunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya. Dan barangsiapa Allah sesatkan, tidak ada yang dapat memberi petunjuk kepadanya.
Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan tiada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad  itu hambaNya dan RasulNya.
Assalamualaikum kepada semua pembaca rahimahullah. Yang ingin saya pertengahkan dalam perbincangan kali ini adalah tentang soal khusyuk dalam solat. Saya yakin, masih ramai tidak ketahui rahsia kepada hal ini. Dan, masih ramai yang melakukan dosa-dosa kerana solatnya tidak teratur. Tidak dapat dinafikan lagi. Sememangnya hal ini memang penting, dan saya juga yakin bahawa hanya beberapa orang sahaja yang akan membuka perbincangan seperti ini, kerana ANDA MENGAMBIL RINGAN HAL INI. Itu menjadi masalah berat buat kita. Bagaimana hendak atasinya? Sebarkan yang baik-baik, dan larangi perkara yang mungkar.

…………………………………………………………………………………….

قَدْ اَفْلَحَ الْمُؤْمِنُوۡنَ ۙ﴿۱﴾ الَّذِیۡنَ ہُمْ فِیۡ صَلَاتِہِمْ خٰشِعُوۡنَ ۙ﴿۲﴾
[1]Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman itu. [2](Iaitu) yang khusyuk dalam solatnya.
[Surah al-Mukminun : 1-2]

…………………………………………………………………………………………………………..

Allah Maha Kuasa berfirman : {[1]Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman itu.} Allah menyatakan, bahawa orang-orang yang beriman itu telah berjaya. Berjaya? Bagaimana ya Allah? Bagaimana kami orang mukminin[orang beriman padaMu] ini boleh berjaya? Kemudian, Allah memberikan jawapan dalam firmanNya : {[2](Iaitu) yang khusyuk dalam solatnya.} Ya, Allah telah memberikan jawapan kepada kita, bagaimana hendak berjaya sebagai orang beriman. Ada di antara kita mahu khusyuk, namun tidak ketahui caranya bagaimana. Maka di sini saya akan kongsikan, moga bermanfaat buat anda semua.

Khusyuk – Lupakan Hal Duniawi

Sememangnya, untuk khusyuk dalam solat merupakan suatu perkara yang sukar kepada kita. Pelbagai halangan sekeliling kita menyusahkan lagi kita untuk khusyuk. Antaranya :

[i] Gangguan suara anak-anak.
[ii] Otak asyik memikirkan soal kerja.
[iii] Memikirkan masalah kewangan rumah tangga.
[iv] Tidak sabar hendak tonton televisyen, bermain permainan computer, sukan.
[v] Mengejar masa.
[vi] Memikirkan masalah bakal dihadapi sebentar lagi.
[vii] Dan sebagainya.

Ini hanyalah sebahagian daripada contohnya. Namun, andai anda ada seribu masalah, anda boleh catitkan. Dan, saya akan berkongsikan satu ayat yang akan tenangkan hati anda. Cukup indah.

“Hasbunallahi wa ni’mal wakeel”
[Cukuplah Allah(menjadi penolong) untuk kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung(Surah Ali-Imron : 173]

Tahukah anda, bagaimana perkataan sependek ini, mampu buat anda khusyuk dalam solat? Mahupun dalam urusan-urusan lain?

Jawapannya, apabila anda hendak solat, sebutlah kata-kata tersebut. Dan, tarik nafas anda, tenangkan diri. Lupakan segala hal. Dan, saya yakin ada beberapa perkara anda tidak dapat lupakan, maka ingat satu perkara ini :

“Allah akan bantu kamu, jika kamu berjaya khusyuk dalam solat, maka lupakanlah hal duniawi ini. Tumpukan pada Kekasihmu ini”

Apakah kamu fikir bahawa Allah akan membiarkan hambaNya yang beriman tersadai tanpa bantuan? Ingatlah, Allah lebih dekat kepadamu lebih dekat daripada urat lehermu sendiri.

Khusyuk – Memahami Firman Kekasihmu

Antara cara-cara khusyuk yang kita terlepas pandang adalah : memahami firman Kekasih kita, iaitu Allah. Kadang-kala, anda membacakan firmanNya tanpa anda ketahui maknanya. Anda baca ayat suci Al-Quran, tetapi hati anda melayang ke rumah buah hati anda, ke meja makan anda, ke buku komik anda dan sebagainya. Lupakan itu semua! Beranikah kamu campurkan ayat-ayat suci ini dengan perkara duniawi yang remeh itu?

   Sebaiknya anda belilah tafsir al-Quran, ataupun buka internet yang kini serba moden, dan carilah makna-makna ayat suci Al-Quran itu. Sebaiknya, anda bacakan dalam solat firman Allah mengenai nikmat sebagai ganjaran, dan azab sebagai peringatan.  Hal seperti ini akan menambahkan takut anda kepada Allah, seterusnya menambahkan kekhusyukan anda.

Khusyuk—Tama’ninah

Nabi  telah berpesan kepada seorang lelaki agar tama’ninah dalam solatnya. Tama’ninah bermakna berhenti seketika selepas sesuatu pergerakan. Sebagai contoh, selepas anda rukuk, anda rehat sebentar tanpa bergerak-gerak. Mengapa Nabi  mengajar kita berbuat begini? Hal ini adalah untuk memberi kita rehat dalam solat.

  Sebenarnya, solat bukanlah beban. Namun, solat adalah sebuah medan untuk rehatkan diri. Setiap gerak geri anda adalah bagaikan meregangkan otot. Malah, kajian sains membuktikan apabila anda sujud serta tarik nafas, anda akan dapat membetulkan semula posisi buah pinggang anda dan sebagainya. Allah jadikan sesuatu perkara itu, mesti ada sebabnya. Cuma kita sahaja yang tidak mengerti.

Khusyuk – Mencari Tempat Tenang Dan Aman

Adalah baik jika anda dapat mencari sebuah tempat yang tenang dan aman untuk menambahkan lagi kekhusyukan anda. Dan tiada tempat lain yang lebih tenang melainkan rumah Allah, yakni masjid. Pergilah ke masjid, walaupun jauh, Allah tidak akan sia-siakannya. Setiap tapak kamu yang ikhlas untuk ke masjid, pasti mendapat pahala berlipat ganda.

  Lebih indah solat anda dilakukan dengan cara jemaah, kerana pahala anda akan digandakan sebanyak 27 kali. Lebih ikhlas anda, maka lebih tinggilah pahala yang anda dapat.

Khusyuk – Solat Secara Jemaah

  Apabila telah masuk waktu solat, jangan anda solat dahulu. Sebaiknya, carilah seseorang untuk melakukan solat secara jemaah. Sabda nabi bahawa seseorang yang tunggu untuk solat secara jemaah adalah lebih baik daripada solat seorang diri kemudian tidur.

  Dengan imam membacakan ayat suci al-Quran, hal ini akan memudahkan anda untuk memahami dan menghayati ayat suci tersebut. Malah, jika bacaannya merdu, maka bertitisan lah air mata di linangan mata kita.

Khusyuk – Menghafal Lebih Banyak Ayat Suci Al-Quran

  Menghafal ayat suci Al-Quran memberikan kita banyak manfaat. Sebagai contoh, ketika memandu kereta, anda dapat membacanya, walaupun tanpa membuka mushaf. Dan selain itu, apabila kita masuk syurga, kita akan disuruh membaca ayat Quran yang kita hafal sehinggalah kita berhenti kepada ayat terakhir yang kita hafal yang kita  baca di dunia. Selagi kita bacakan ayat suci al-Quran itu, selagi itulah kita akan naik di dalam Syurga. Indah bukan?

  Kita akan merasa bahagia, apabila berjumpa kekasih kita Muhammad  kelak, kita berjumpa dengannya dengan tubuh kita yang ada wudhuk berseri-seri, dan kita datang dengan dada penuh dengan hafalan di dunia dahulu. Gembiranya kita. Insha-Allah, Nabi Muhammad  berseri-seri wajahnya datang kepada kita.

Khusyuk – Solat Adalah Hobi

Mungkin ada yang menganggap solat sebagai hobi ini sesuatu yang janggal. Kenapa? Kerana anda tidak pernah fikir solat ini penting. Percayakah, bahawa solat tahajjud ini mampu memudahkan urusan dunia anda? Tidak percaya? Maka, setkan jam loceng anda pada pukul tiga. Apabila tiba sepertiga malam, bangunlah hai orang yang beriman!

  Tunaikan solat Tahajjud ini. Kemudian pada satu hari tersebut, anda akan merasakan ketenangan, insha-Allah. Kerana pada waktu inilah suasana menjadi dingin, tenang dan selesa untuk anda solat. Tambahan, apabila anda bangun dari tidur, terus anda teringat kepadaNya. Dan perbanyakkanlah solat sunat, ini sebagai “Back up” kepada solat wajib anda. Namun begitu, anda mestilah istiqomah[lakukan secara berterusan] dan janganlah lupa kepada perkara wajib. Kerana lakukan perkara sunat tanpa lakukan perkara wajib terlebih dahulu adalah bagaikan makan di atas pinggan yang tiada makanan. Sia-sia sahaja amalan sunat itu.

Khusyuk – Banyakkan Amalan Sunat

Antara kunci untuk khusyuk adalah banyak amalan sunat. Sebagai contoh, bersedekah. Apabila bersedekah, kita tidak akan risau mengenai soal duit, maka tidak akan mengganggu solat kita. Berbuat baik kepada ibu dan bapa, maka saat solat, kita tidak akan risau akan dosa-dosa kita kepada mereka. Perbanyakkan solat sunat seperti tahajjud, dan perbanyakkanlah taubat. Sucikanlah hati anda dengan membaca al-Quran serta berdzikir kepada Allah. Insha-Allah, solat anda bertambah khusyuk.

Khusyuk – Derajatnya

 Khusyuk ini untuk orang beriman, terbahagi kepada beberapa derajat.

[1] Solat kerana terpaksa.
[2] Solat kerana mahu tapi sambil lewa.
[3] Solat dengan baik, tetapi fikirannya melayang.
[4] Solatnya tertumpu, tetapi tidak dapat memahami apa yang dibaca.
[5] Solatnya tertumpu, memahami apa yang dibaca, namun tidak menghayatinya.
[6] Solatnya tertumpu, memahami apa yang dibaca, menghayatinya, namun Allah tiada dalam solatnya.
[7] Segalanya hanyalah Allah, hanya Allah yang berada di hatinya, fikirannya, serta pandangannya, solatnya tertumpu, memahami bacaannya, serta menghayati bacaan tersebut.

Derajat ketujuh di atas adalah yang paling sukar digapai. Dan ini adalah khusyuk para sahabat. Andai kita mampu ke tahap ini, maka kita telah berjaya. Inilah khusyuk. Wallahu alam. Bersama-samalah kita perbaiki diri kita semua. Perbaiki solat kita, perbanyakkan amalan sunat. Insha-Allah, sama-samalah kita ubah diri kita. Saya berpesan kepada anda dan diri saya juga.

0 comments:

Post a Comment