Monday, September 16, 2013

Posted by Unknown | File under :
 Setiap orang mengimpikan bakal pasangan yang pandai menghargai. Sifat mulia ini boleh menjamin keteguhan rumah tangga yang terbina. Malah, pasangan yang memiliki sifat ini boleh dijadikan teman ketika gembira dan juga berduka.


Selain itu, personaliti yang bersederhana, tidak  materialistik, tidak terlalu bermewah-mewah lahir daripada jiwa yang sentiasa redha, mudah menghargai pasangannya.

 Bagaimana Menguruskan Diri untuk Mendekatkan Jodoh?

     1. Fahami emosi dan kerenah wanita.

Seorang lelaki perlu  memahami bahawa wanita dicipta bersama jiwa yang halus dan sensitif. Jiwa sebegitu membolehkannya menjalankan peranan sebagai seorang ibu yang mengandung, melahirkan dan membesarkan anak. Begitu unik ciptaan Tuhan!
   Kerenah perempuan juga berbeza dan perlu difahami agar lelaki mampu bertindak adil dengan perempuan tersebut.
   Perempuan suka mengikut emosi apabila bertindak, berbanding dengan lelaki yang lebih rasional. Perempuan juga berfikir sambil bercakap berbanding lelaki yang kurang bercakap dan diam ketika berfikir.
   Oleh itu, lelaki jangan menuduh melulu pasangannya kuat berleter atau membebel, sebaliknya tangani masalah itu dengan bijak dan berhikmah.

     2.  Elakkan memberi tumpuan kepada kelemahan pasangan.

Setiap orang mempunyai kelemahan masing-masing. Tiada manusia yang sempurna, melainkan Rasulullah s.a.w yang terpelihara dirinya daripada dosa.
   Oleh sebab itu, elakkan memberi tumpuan pada kelemahan pasangan. Contohnya, apabila pasangan kita tidak pandai bercakap di hadapan orang ramai, cari kebaikan lain dirinya, bukan memandang pada sesuatu kelemahan itu sahaja. Ingatlah, diri kita juga sarat dengan kelemahan dan mungkin kelebihan-kelebihan yang ada pada pasangan boleh membantu menampung kelemahan diri kita.

     3.  Senyuman dan Bahasa Badan

Senyuman yang terukir indah di bibir seorang wanita sangat memberi kesan di hati lelaki. Namun, seorang wanita tidak boleh sembarangan menghadiahkan senyuman kepada lelaki kerana mungkinmenjadi racun bahaya kepada lelaki tersebut.
   Senyuman manis  seorang wanita selayaknya hanya untuk lelaki bernama suami. Namun tidak salah bagi seseorang wanita menyemaikan sifat suka senyum dalam dirinya. Senyumlah buat semua saudara Islam sejenisnya.
   Sifat itu akan subur menghiasi diri dan menjadi keistimewaannya, apatah lagi jika ditambah dengan  bahasa badan(body language) yang menarik.
   Hakikatnya, biar semanis mana pun senyuman dan secantik mana pun bahasa badan, seseorang wanita itu hanya kelihatan benar-benar menawan apabila ia lahir daripada hati yang bersih.

     4.  Keserasian atau persamaan

Manusia mudah tertarik dengan orang yang kelihatan serasi dengannya. Seseorang itu serasi apabila dia mempunyai hubungan atau persamaan dengan kita. Contohnya, hubungan atau persamaan dari sudut tahap pengorbanan, keserasian dan keakraban.
   Biasanya, pasangan yang kerap melakukan aktiviti bersama mudah tertawan. Contohnya seperti bergerak dalam parti politik  yang sama, melakukan aktiviti keagamaan bersama, hobi yang  sama dan sebagainya.
   Walaupun banyak perbezaan antara pasangan, namun mereka masih boleh menjadi satu persamaan walaupun dalam satu perkara. Berdasarkan pengalaman dan kajian, terbukti bahawa persaudaraan dan kasih sayang antara manusia tidak tumbuh melainkan dengan adanya persamaan tabiat dan istiadat.
   Oleh itu, tidak hairan jika  kesatuan pemikiran, perasaan, tujuan dan pertimbangan dapat menyatukan dua hati lantaran persamaan antara kedua mereka terlalu ketara.

     5. Bertemu dengan menjaga syariat.

Menjaga syariat yang dimaksudkan contohnya mengajak pasangan datang ke rumah untuk perjumpaan yang melibatkan ramai orang. Pasangan tidak dibolehkan sesekali keluar berduaan tanpa kehadiran mahram bersama.
Bertepatan dengan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Apabila keluar berdua-duaan antara lelaki dan wanita, orang ketiganya ialah syaitan.”
[H.R Ahmad]
Pertemuan itu juga perlu atas urusan yang dibenarkan syariat. Perjumpaan tanpa tujuan dan urusan bukan sahaja tidak dibenarkan agama malah menjadi tunas berputiknya nafsu syahwat yang meliar.

    6. Mempamerkan emosi yang sama.

   Si dia pasti mudah memberi kepercayaan kepada kita apabila mendapati kita mempunyai emosi yang sama dengannya. Malah, mungkin dia menganggap kita orang paling memahami emosinya.
   Contohnya apabila dia terlanggar kucing, lalu menunjukkan emosi sedih, kita juga hendaklah menunjukkan emosi sedih dan simpati.

    7. Membantu naikkan semangat.

   Orang mudah menerima semangat dan kata-kata peransang(motivasi) daripada seseorang, akan mudah tertarik dengan orang tersebut. Mungkin orang itu akan menjadi idola atau “guru”nya.
   Seseorang yang gemar memberi semangat dan perangsang memiliki cirri-ciri pasangan yang baik, memahami dan mengambil berat.
   Oleh sebab itu, jika kita mendapati orang yang kita sedang jatuh cinta sedang memerlukan nasihat, motivasi dan perangsang, janganlah berat hati untuk menyambutnya. Namun, batas-batas syariat perlu dititik beratkan.

     8. Lakukan sebanyak mungkin perkara yang pasangan suka.
   
Setiap orang pasti menyukai pasangan yang mempunyai persamaan minat dengannya. Oleh sebab itu, jika kita menyukai seseorang dan benar-benar jatuh cinta terhadapnya, lakukan sebanyak mungkin perkara-perkara yang disukainya selagi mana tidak bertentangan dengan syariat.
   Namun, elakkan sikap hipokrit kerana itu bukan sikap yang dianajurkan dalam Islam. Sebaik-baiknya, cuba memimpin diri  melakukan sesuatu yang baik dari kaca mata syariat dan ikhlas kerana Allah s.w.t, nescayap perkara itu tentu baik di kaca mata manusia.

  Semua perlakuan yang buruk serta sifat mazmumah sudah tentu tidak disukai oleh manusia yang baik. Maka hendaklah kita kikis sebanyak mungkin. Sudah tentu sifat ini juga tidak disukai pasangan  yang baik.

     9. Tindakan serentak yang berulang boleh menarik pasangan.

Seseorang itu mudah tertarik dengan seseorang  yang sering bertindak serentak berulang kali tanpa dirancang. Bagaikan itulah  petanda bahawa mereka akan bersama. Contohnya, si dia senyum kita pun senyum, si dia memakai baju unggu, kita juga memakai baju unggu, si dia mencuci kasut kita juga mencuci kasut, dan sebagainya.
   Kadang-kadang apabila kita sedang memikirkan sesuatu perkara, tiba-tiba si dia terus bertanya perkara yang sama. Bahkan hendak mengambil lauk di dalam mangkuk juga serentak!

    10.  Memuji dengan ikhlas.

   Kadangkala, belaian kata-kata indah melalui pujian ikhlas boleh menambat hati pasangan. Namun,jangan terlalu berlebih-lebihan dalam memuji kerana pujian boleh melalaikan hati pasangan malah boleh menyuburkan sifat riyak dan ujub.
   Berpada-pada dalam memuji dengan niat  untuk menghargai dan menggalakkan agar dia terus mengekalkan sifat-sifatnya yang terpuji. Rasulullah juga tidak kedekut memberi pujian dan memanggil dengan nama-nama penghargaan buat sahabat-sahabat tercinta  seperti “as-Siddiq”, “al-Faruq” dan sebagainya.

11.  Seimbang.

Wanita yang pandai mengurus hidupnya dengan seimbang dari sudut pergaulan, keagamaan, pengurusan diri, pengurusan masa dan sebagainya menjadi idaman lelaki. Sifat mulia ini penting untuk  disuburkan dalam hidup berkeluarga bagi menguruskan urusan rumah tangga yang menuntut seribu satu tanggungjawab. Wanita yang seimbang mempunyai perancangan hidup yang jelas.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a. katanya : “Rasulullah s.a.w menepuk bahuku serta bersabda yang maksudnya : “Hendaklah engkau jadi di dunia ini seolah-olah berdagang di negeri orang atau sebagai orang yang melintasi jalan.” Ibn umar r.a berkata : “Jika kamu berada pada waktu petang, janganlah kamu tangguh ke waktu pagi dan jika kamu berada di waktu pagi, janganlah kamu tangguh ke waktu petang. Rebutlah kesempatan sewaktu kamu berada dalam keadaan sihat sebagai persediaan waktu engkau sakit, dan ketika kau masih hidup sebagai bekalan ketika engkau mati”
[H.R. Bukhari]

   ~Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah

0 comments:

Post a Comment