Showing posts with label isteri. Show all posts
Showing posts with label isteri. Show all posts

Wednesday, October 9, 2013

Posted by Unknown | File under : ,
10 Kesalahan Popular Suami Kepada Isteri | Dewasa ini, kita banyak mendengar tentang berita-berita kes penceraian dalam keluarga Melayu Islam di Malaysia. Ada yang baru berkahwin tak sampai 2 minggu pun dah bercerai. Padahal, bercinta bertahun-tahun boleh pulak tahan. Maka, Kisah Best pada kali ini ingin berkongsi tentang 10 (sepuluh) KESALAHAN-KESALAHAN suami yang banyak dilakukan terhadap isterinyayang mungkin menjadi asbab kepada peningkatan kes penceraian di Malaysia ini.

Isteri itu adalah amanah Allah kepada suami.
1. Tidak Mengajarkan AGAMA dan HUKUM syariat kepada isteri
Banyak kita dapati para isteri tidak mengetahui bagaimana cara solat yang betul, hukum haid & nifas, bertingkahlaku/berperilaku terhadap suami secara tidak syar’ie & tidak mendidik anak-anak secara Islam. Bahkan ada yang terjerumus ke dalam pelbagai jenis kesyirikan. Yang menjadi perhatian seorang isteri hanyalah bagaimana cara memasak & menghidangkan makanan tertentu, cara berdandan yang cantik dsb. Tidak lain semua kerana tuntutan suami, sedangkan masalah AGAMA, terutama ibadahnya tidak pernah ditanyakan oleh suami.
Padahal Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Hai orang–orang yang beriman, peliharalah dirimu & keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia & batu, penjaganya malaikat – malaikat yang kasar, keras & tidak mendurhakai Allah terhadap apa yg di perintahkan-Nya kpd mereka & selalu mengerjakan apa yang diperintakan” {Al-Quran, Surah At-Tahrim:6}
Maka para suami diminta untuk tidak sesekali mengABAIkan hal ini, kerana semuanya akan diminta dipertanggungjawapkan keatasnya. Hendaklah benar-benar mengajarkan agama kepada isterinya, baik dilakukan sendiri atau melalui perantara. Antara lain yang dapat dilakukan; menghadiahkan buku-buku tentang Islam & hukum-hukumnya serta berbincang bersama-sama, kaset/cd ceramah, mengajak isterinya menghadiri ke majlis-majlis ILMU yang disampaikan oleh orang-orang yang berilmu dsb.. (yang paling praktikal.. ajaklah solat berjemaah di rumah atau di surau/masjid misalnya)
2. Suka Mencari Kekurangan & Kesalahan Isteri
Dalam suatu hadith riwayat Bukhari & Muslim, Rasulullah s.a.w melarang lelaki yang berpergian dalam waktu yang lama, pulang menemui keluarganya di waktu malam, kerana dikhuatirkan akan mendapati berbagai kekurangan isteri & cela isterinya. Bahkan suami diminta bersabar & menahan diri dari kekurangan yang ada pada isterinya, juga ketika isteri tidak melaksanakan kewajipannya. Kerana suami juga mempunyai kekurangan & celaan seperti sabda Rasulullah:
“Janganlah seorang suami yang beriman membenci isterinya yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak darinya, dia pasti meredhai akhlak lain darinya.” {H.R. Muslim}

3. Memberi Hukuman yang Tidak Sesuai Dengan Kesalahan Isteri
Ini termasuk bentuk kezaliman terhadap isteri, antara lain iaitu:
(a) Menggunakan pukulan di tahap awal pemberitahuan hukuman {sila rujuk Al-Quran, Surah An-Nisa : 34}
(b) Mengusir isteri dari rumahnya tanpa ada kebenaran secara syar’ie {sila rujuk Al-Quran, Surah Ath-Thalaq : 1}
(c) Memukul wajah, mencela dan menghina.
Dalam as-Sunan dan al-Musnan dari Mu’awiyah bin Haidah al-Qusyairi bahawa ia berkata: “Ya Rasulullah, apakah HAK isteri atas suaminya? Nabi s.a.w menjawab:
“Hendaklah engkau memberinya makan jika engkau makan, memberinya pakaian jika engkau berpakaian, tidak memukul wajah, tidak menjelek-jelekkan & tidak menghajar(boikot) kecuali di dalam rumah.” {H.R. Ibnu Majah disahihkan oleh Syeikh Albani}
4. Culas Dalam Memberi Nafkah Kepada Isteri
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.” {Al-Quran, Surah Al-Baqarah : 233}
Isteri BERHAK mendapatkan nafkah, kerana dia telah membolehkan suaminya bersenang–senang kepadanya, dia telah mentaati suaminya, tinggal di rumahnya, mengasuh & mendidik anak-anaknya. Dan jika isteri mendapati suaminya culas dalam memberi nafkah, bakhil, tidak memberikan nafkah kepadanya tanpa ada pembenaran syar’ie, maka dia boleh mengambil harta suami untuk mencukupi keperluannya secara ma’ruf (tidak berlebihan) meskipun tanpa sepengetahuan suaminya.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Jika seorang muslim mengeluarkan nafkah untuk keluarganya sedangkan dia mengharapkan pahalanya, maka nafkah itu adalah sedekah baginya.” {Muttafaq ‘alaih}
5. Sikap Keras, Kasar, Tidak Lembut Terhadap Isteri

Rasulullah s.a.w bersabda: “Mukmin yang paling sempurna adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik–baik kalian adalah yang paling baik tehadap isteri-isterinya.” {H.R. at-Tirmidzi, disahihkan oleh Syeikh Albani}
Maka suami hendaklah berakhlak baik terhadap isterinya dengan bersikap lembut & menjauhi sikap kasar.

6. Kesombongan Suami Membantu Isteri Dalam Urusan Rumahtangga
Ini kesalahan yang paling banyak MENJANGKITI para suami. Padahal lelaki yang paling UTAMA yakni Rasulullah s.a.w tidak segan silu membantu pekerjaan isterinya.
Ketika Aisyah r.ha ditanya tentang apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w di rumahnya, beliau menjawab:
“Beliau membantu pekerjaan isterinya & jika datang waktu solat, maka beliau pun keluar untuk solat.” {H.R. Bukhari}
7. Menyebarkan Rahsia dan Aib Isterinya
“Sesungguhnya diantara orang yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seseorang yang menggauli isterinya & isterinya menggaulinya kemudian dia menyebarkan rahsia-rahsia isterinya.” {H.R. Muslim}
Dalam hadith ini diHARAMkan seorang suami menyebarkan apa yang terjadi antara dia dengan isterinya terutamanya di tempat tidur. Juga diharamkan menyebutkan perinciannya, serta apa yang terjadi pada isterinya baik berupa perkataan mahupun perbuatan lainnya.
8. Sikap Terburu-buru Dalam Menceraikan Isteri
Wahai suami yang mulia, sesungguhnya hubungan antara engkau & isterimu adalah hubungan yang kuat lagi suci, oleh keranyalah Islam menganggap penceraian adalah perkara besar yang tidak boleh diremehkan kerana penceraian akan menyeret kepada kerosakan, kacau bilaunya pendidikan anak dsb. Dan hendaknya perkataan cerai/talak itu tidak digunakan sebagai bahan gurauan/mainan. Kerana Rasulullah s.a.w teleh bersabda:
“Ada 3 hal yang kesungguhannya dan gurauannya sama-sama dianggap sungguh-sungguh iaitu: NIKAH, TALAK (cerai) dan RUJUK.” {H.R. Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah, dinilai “hasan” oleh asy-Syeikh Albani}
Memang perselisihan antara suami isteri sering terjadi kadang sampai mengarah kepada penceraian. Akan tetapi penceraian ini tidak boleh dijadikan sebagai langkah pertama dalam penyelesaian perselisihan ini. Bahkan harus diusahakan berbagai cara untuk menyelesaikannya, keran kemungkinan besar akan banyak rasa penyesalan yg ditimbulkan dikemudian hari kelak.
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya (penyesatannya). Maka datanglah salah satu tenteranya dan melapor: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melapor: Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik.” {H.R. Muslim}
9. Berpoligami Tanpa Memperhatikan Ketentuan Syari’at
Menikah untuk kedua kali, ketiga dan keempat kali merupakan salah satu perkara yang Allah syariatkan. Akan tetapi yang menjadi catatan di sini bahawa sebahagian orang yang ingin menerapkan syariat ini/telah menerapkannya tidak memperhatikan sikapnya yang tidak memenuhi kewajipan serta tanggungjawab terhadap isteri. Terutama isteri pertama & anak-anaknya.
“Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinlah) seorang sahaja.” {Al-Quran, Surah An-Nisa : 3}
Sikap ini merupakan KEADILAN yang diperintahkan Allah s.w.t. Memang benar berpoligami merupakan syariat Islam, tetapi jika seseorang tidak mampu melaksanakannya dengan baik & tidak memenuhi syarat-syaratnya atau tidak boleh memikul tanggungjawabnya, hal ini boleh menjuruskan kerosakan sesebuah rumahtangga, menghancurkan anak-anak & menambah permasalahan keluarga & juga kepada masyarakat. Maka fikirkanlah akibatnya & perhatikanlah dengan saksama perkaranya sebelum masuk ke’dalam’nya.
10. Lemahnya Kecemburuan
Para suami memBIARkan keelokan, keindahan & kecantikan isterinya DINIKMATI & DIPERTONTONkan oleh ramai orang. Dia memBIARkan isterinya menampakkan auratnya ketika keluar rumah, membiarkan berkumpul dengan lelaki-lelaki lain. Bahkan sebahagian ada yang BANGGA kerana telah memiliki isteri yang cantik yang boleh dinikmati ‘pandangan’ kebanyakan orang. Padahal wanita dimata Islam adalah makhluk yang SANGAT mulia, sehingga keindahan & keelokannya hanya diperuntukkan atau DIKHUSUSkan buat suaminya sahaja tidak sesekali di’jaja’ kemana-mana pun.
Seorang suami yang memiliki kecemburuan terhadap istrinya tidak akan membiarkan isterinya berjabat tangan dengan lelaki lain yang BUKAN mahram.
“Ditusukkan kepala seorang lelaki dengan jarum dari besi lebih baik daripada dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya.” {lihat dalam ash-Shahihah : 226}
Seorang suami yang memiliki kecemburuan terhadap isterinya, dia akan memperhatikan sabda Rasulullah s.a.w:
“Janganlah kalian masuk menemui para wanita.” lalu seorang Ansar berkata, “Wahai Rasulullah, bagaimana dengan al-hamwu (kerabat suami)?” Beliau mengatakan, “Al- hamwu adalah kematian.” {Muttafaq ‘alaih}
Perhatikan juga ancaman Rasulullah s.a.w terhadap lelaki yang tidak memiliki kecemburuan terhadap keluarga (isteri):
“Tiga golongan yang Allah s.w.t tidak akan melihat mereka pada hari kiamat iaitu seseorang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, wanita yang menyerupai lelaki dan ad-Dayyuts” {H.R. An-Nasa’i dinilai ‘hasan’ oleh syeikh Albani, lihat ash-Shahihah : 674}
Dan ad-Dayyuts (dayus) adalah LELAKI yang tidak memiliki kecemburuan terhadap keluarganya.
Semoga bermanfaat buat kita semua.. InsyaAllah.

Monday, September 16, 2013

Posted by Unknown | File under :
…Isterimu akan menjadi penemanmu, penghiburmu serta sahabat terbaik untukmu




Dengan berkahwin, anda bukan sahaja mendapat seorang isteri, bahkan kamu seperti sudah memiliki seluruh dunia. Mulai sekarang hinggalah ke akhir hayat, isterimu adalah  penemanmu, penghiburmu serta sahabat terbaik kamu.

Dia akan berkongsi saat-saat indah kamu, hari-harimu serta tahun-tahunmu. Dia akan berkongsi gembira dan sedihmu, kemenangan dan kekalahan kamu, impianmu dan ketakutanmu. Apabila kamu sakit, dia akan menjaga kamu dengan baik sekali; apabila kamu memerlukan sesuatu, dia akan cuba yang terbaik untuk memenuhinya; apabila kamu mempunyai rahsia, dia akan menyimpakannya; apabila kamu memerlukan nasihat, dia akan memberikan nasihat yang terbaik kepadamu.

Dia akan sentiasa bersamamu: Apabila kamu bangun pagi, benda pertama yang mata kamu akan lihat adalah isterimu; apabila siang hari, dia akan sentiasa bersamamu, sekiranya dia tiada di sampingmu, dia pasti akan memikirkanmu, mendoakanmu dengan sepenuh hatinya; apabila kamu masuk untuk tidur, benda terakhir kamu akan lihat adalah isterimu; bahkan saat kamu tidur juga kamu akan menemuinya. Natijahnya, dia akan menjadi duniamu dan kamu  juga akan menjadi dunianya.

Pada saya, penerangan yang paling tepat untuk menerangkan semua di atas adalah melalui firman Allah azza wa jalla:

ہُنَّ لِبَاسٌ لَّکُمْ وَاَنۡتُمْ لِبَاسٌ لَّہُن

“Mereka adalah pakaian bagi kamu, dan kamu adalah pakaian bagi mereka.”
[Surah al-Baqarah, 2 : 187]

Benar, pasangan suami isteri adalah ibarat pakaian bagi satu sama lain kerana mereka menjanjikan keselamatan, keselesaan, perlindungan, sokongan dan dandanan untuk setiap manusia. Bayangkan sahaja perjalanan di Alaska tanpa pakaian!

Begitu juga halnya dengan isterimu, mereka menjanjikan keselamatan, keselesaan, perlindungan, sokongan serta menjadi perhiasan yang menyejukkan mata kita. Mereka akan menemani kita menempuh kehidupan ini seperti mana pakaian yang memanaskan badan kita sekiranya kita ke Alaska.

Hubungan pasangan suami isteri teramat menarik daripada hubungan dengan manusia lain: dari segi cinta dan tarikannya, keakraban serta kerapatannya, sifat  kasih dan sayangnya, ketenteraman dan keamanannya yang memenuhi hati pasangan suami isteri ini ternyata tidak dapat dijelaskan. Hal ini adalah tindakan dan kuasa daripada Allah azza wa jalla.

وَاللہُ جَعَلَ لَکُمۡ مِّنْ اَنۡفُسِکُمْ اَزْوٰجًا

“Dan Allah menjadikan bagimu (pasangan suami atau isteri) dari jenis kamu sendiri.”
[Surah an-Nahl, 16 : 72]

Allah azza wa jalla dengan Kekuasaan-Nya boleh mencipta dan menanam perasaan indah ini di dalam hati pasangan suami isteri. Tambahan, Allah subhanahu wa Ta’ala mengingatkan kepada mereka yang mencari Tanda-Tanda Kebesaran Allah bahawa perasaan kasih sayang ini juga merupakan  antara Tanda-Tanda Kebesarannya yang akan membimbing manusia kepada kewujudan-Nya.


وَ مِنْ اٰیٰتِہٖۤ اَنْ خَلَقَ لَکُمۡ مِّنْ اَنۡفُسِکُمْ اَزْوٰجًا لِّتَسْکُنُوۡۤا اِلَیۡہَا وَ جَعَلَ بَیۡنَکُمۡ مَّوَدَّۃً وَّ رَحْمَۃً ؕ اِنَّ فِیۡ ذٰلِکَ لَاٰیٰتٍ لِّقَوْمٍ یَّتَفَکَّرُوۡنَ ﴿۲۱

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kkaum yang berfikir.”
[Surah ar-Rum, 30 : 21]

Namun begitu, Allah Maha Mengetahui bahawa hati manusia tidaklah berubah sentiasa, ada kalanya lemah dan ada kalanya hebat. Perasaan akan berubah mengikut masa. Cinta akan layu dan pudar. Perasaan ini akan lemah sekiranya tidak dijaga dengan baik. Kebahagian perkahwinan tidak boleh diambil ringan: cinta yang berterusan memerlukan pemahaman dan pemberian daripada kedua-dua pihak. Untuk pokok cinta tumbuh mekar dan membesar, tanahnya mestilah dijaga, disirami serta diawasi.

Ingatlah bahawa kamu akan diberi ganjaran oleh Allah subhanahu wa Ta’ala untuk setiap gerak-gerimu terhadap isterimu kerana Rasulullah saw bersabda: “Seseorang itu akan diberi ganjaran untuk setiap amalannya dalam mencari rahmat Allah bahkan suapan makanan yang disuapkan ke mulut isterinya.”

Dari Abu Masud al-Ansari radhiallahu 'anhu: Rasulullah saw bersabda:

“Apabila seorang Muslim memberikan sesuatu kepada keluarganya dengan niat untuk mendapatkan ganjaran dari Allah, maka ia dikira sedekah baginya.”
[Sahih Bukhari (263)]

Dari Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Daripada Dinar yang kamu keluarkan di jalan Allah, atau membebaskan seorang hamba, atau sedekah yang diberikan kepada yang memerlukan, atau untuk menyokong keluarga, yang paling besar ganjarannya adalah yang kamu keluarkan untuk keluargamu.”

[Sahih Muslim (2181)]


Jangan memandang rendah hal seperti suapan mulut ke dalam mulut isterimu, membukan pintu kereta untuknya, mendukungnya saat dia tidur dan sebagainya, kerana ganjaran yang Allah janjikan adalah besar.

Ingatlah bahawa Rasulullah membantu isterinya untuk menaiki unta.

Dari Anas bin Malik radhiallahu 'anhu

Kemudian kami sampai di Khaibar; dan ketika Allah membolehkan beliau menguasai kota tersebut (Khaibar), keindahan Safiya binti Huyai diterangkan kepada baginda. Suaminya meninggal ketika dia seorang pengantin. Maka Rasulullah memilihnya untuk baginda dan membawanya hinggalah kami sampai di suatu tempat bernama Sadas Sahba, di mana menstruasinya tamat dan baginda mengambilnya sebagai isteri. Haris(sejenis makanan) dihidangkan di atas kain kulit kecil. Kemudian Rasulullah mengarahkanku untuk memanggil semua yang bersamaku. Maka, itu adalah jamuan perkahwinan antara Rasulullah dan Safiya. Kemdian kami bergerak ke Madina. Aku melihat Rasulullah melipat mantelnya(pakaian tanpa lengan) di atas bonggolan unta untuk memberikan ruang yang luas untuk Safiya (duduk di belakang baginda). Baginda duduk di sebelah untanya membiarkan kakinya untuk Safiya meletakkan kaki untuk memanjat unta tersebut. Kemudian, kami meneruskan perjalanan hingga kami sampai di Madinah; baginda melihat ke arah (Gunung) Uhud dan berkata: “Ini adalah gunung yang mencintai kita dan kita mencintainya juga.” Kemdian baginda melihat Madinah dan berkata: “Ya Alah! Aku jadikan kawasan di antara (Madinah) dua gunung sebagai tempat suci seperti mana Ibrahim menjadikan Mekah sebagai tempat suci. Ya Alllah! Berkatilah mereka (yakni penduduk Madinah) di dalam Mudd dan Sa mereka (Ukuran).”
[Bukhari (143)]


Cubalah cari masa untuk kalian solat bersama-sama. Menguatkan hubungan dengan Allah akan menjanjikan hubungan perkahwinan kalian kekal kuat.

Ingatlah bahawa Rasulullah saw memuji pasangan suami isteri yang bangun lewat malam untuk solat bersama. Rasulullah juga menggesa  pasangan yang bangun lebih awal untuk mengejutkann pasangannya, meskipun perlu menyimbah air di atas muka pasangannya itu.

Dari Abu Hurairah radhiallahu 'anhu bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Semoga Allah memberkati lelaki yang bangun lewat malam dan solat, dan mengejutkan isterinya; sekiranya isterinya enggan, dia patut memercikkan air pada mukanya. Semoga Allah memberkati wanita yang bangun  lewat malam dan solat,, dan mengejutkan suaminya; sekiranya suaminya enggan, dia patut memercikkan air pada muka suaminya.”

[HR Dawud (1303)]


Sentiasalah memberikan yang terbaik kepada isterimu dari segi bahasamu dan amalanmu. Bercakaplah dengan dia, senyum padanya, sentiasa minta nasihatnya, meminta pendapatnya, penuhkan masa terluang dengannya dan sentiasalah ingat pesan Rasulullah saw yakni: “Yang paling baik antara kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya.”

Dari Abu Hurairah radhiallahu 'anhu bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Lengkapnya seorang yang beriman dalam kepercayaannya adalah mereka yang paling baik sikapnya, dan yang paling baik antara kamu adalah yang paling baik tingkah lakunya terhadap isteri-isteri mereka.”

[HR Tirmidzi (1162)]

Dari A’isyah radhiallahu 'anha(dan dari Abdullah Ibn Abbas radhiallahu 'anhu) bahawa Rasulullah saw bersabda: 

“Yang paling baik antara kalian adalah mereka yang baik kepada ahli keluarganya; dan aku adalah yang paling baik antara kalian terhadap keluargaku.”

[HR Tirmidzi (3252)]


Natijahnya, amatlah perlu seseorang itu menyayangi dan mengasihi pasangannya hinggalah ke syurga sekalipun.


 اُدْخُلُوا الْجَنَّۃَ اَنۡتُمْ وَ اَزْوٰجُکُمْ تُحْبَرُوۡنَ ﴿۷۰
“Masuklah kamu ke syurga, kamu dan pasanganmu akan digembirakan.”
[Surah Zukhruf, 43 : 70]

Namun semua ini tidak cukup kamu hanya mencintai isterimu sahaja. Kamu perlu mencintai juga apa yang dicintai oleh isterimu. Keluarganya, kawannya, semua itu perlu anda kasihi juga.

Jangan anda jadi seperti seorang lelaki ini yang tidak suka mertuanya datang ke rumahnya dan kemudian kata kepada isterinya: “Saya tidak suka mereka.” Kemudian, isterinya dengan marah pandang tepat ke mata suaminya dan berkata, “Saya juga!”

Lihat bagaimana Rasulullah saw mencintai isteri-isteri baginda dan juga orang yang isterinya sayang. Cintanya pada Khadijah yang telah meninggal dunia berterusan walaupun Khadijah sudah tiada. Bertahun-tahun setelah kematian Khadijah, setiap kali ada korban kambing di rumahnya, baginda pasti akan mengedarkannya kepada keluarga dan sahabat Khadijah. Bahkan setiap kali ada tetamu yang akan datang ke rumah baginda itu adalah adik Khadijah, Hala, baginda pasti akan berdoa: “Ya Allah, semoga itu adalah Hala.”

Daripada A’ishah radhiallahu 'anha: 

Aku tidak merasakan cemburu dengan mana-mana isteri Rasulullah saw seperti mana aku cemburu dengan Khadijah (walaupun) dia sudah meninggal sebelum baginda mengahwiniku; aku sering mendengar baginda menyebut-nyebut namanya, dan Allah sudah memberitahu baginda untuk memberitahunya berita gembira bahawa dia (Khadijah) akan mendapat Istana Qasab, dan setiap kali baginda menyembelih seekor kambing, dia akan memberikannya kepada kawan wanita Khadijah.”

[Sahih Bukhari (164)]

Daripada Ceramah Sheikh Abdullah Adhami dan blog.iloveallaah.com, diubah sedikit oleh penulis.